09 February 2020

Fesyen Tudung Pilihan Tahun 2020

 

’fesyen


Fesyen Tudung Yang Akan Menjadi Pilihan Tahun 2020.


SEIRING peredaran masa, perkembangan dunia fesyen juga berubah. Tidak terkecuali trend bertudung buat muslimah berhijab.


Sudah namanya wanita, pasti golongan Hawa yang gemarkan kecantikan juga tidak mahu ketinggalan untuk tampil bergaya.


Melihat lonjakan masa ke alaf baharu ini, ramai berpendapat penampilan juga perlulah lebih 'vass'. Futuristik, moden dan bergaya barangkali? Apa agaknya elemen fesyen tudung pilihan baharu 2020 ini?


Sempena Hari Hijab Sedua bulan Februari ini, Sinar+ Digital kongsikan pendapat Perunding Imej Profesional, Awaken Training & Consultancy yang sudah 17 tahun berkecimpung dalam industri, Raihan Abdul Rahman.


Menurut Raihan, medium media sosial pada masa ini sememangnya memainkan peranan besar. Masakan tidak artis, influencer dan instafamous punya ramai pengikut antara ikon dan idola sebagai contoh dalam mengenakan bertudung.


"Jika dulu ramai yang bertudung kerana mengikut syariat agama yang melambangkan keimanan dan kesedaran mengikut perintahNYA. Kini ia (bertudung) sudah jadi umpama fesyen untuk dipakai.

"Hinggakan mereka yang 'dua alam' (pondan) pun hendak pakai tudung," katanya kepada Sinar+ Digital ketika dihubungi baru-baru ini.


Tidak dinafikan terdapat banyak lambakan tudung terkini, kongsi wanita bergaya berusia 42 tahun itu bagaimanapun terdapat kriteria tertentu menjadi pilihan hawa masa kini.


Dek cabaran waktu semakin pantas masa kini, pemilihan tudung menjadi buruan para hijabi sudah tentulah yang mudah siap. Kata Raihan, tempoh lima minit disifatkan masa efisien seseorang itu sudah sepatutnya siap menggayakan tudung untuk keluar rumah atau ke tempat kerja.


Justeru, berikut jangkaan fesyen dan jenis tudung pilihan tahun 2020 yang akan menjadi pilihan ramai wanita yang dikongsikan Raihan:

1) Kurang berkedut atau tidak perlu diseterika

Tudung jenis ini juga dijangka antara menjadi kriteria utama sebelum seseorang wanita itu mahu 'menyambar' tudung. Ia juga akan membantu wanita bersiap lebih pantas. Si suami atau buah hati juga tidak sampai keletihan menunggu!


2) Keselesaan

Selain gaya, keselesaan sudah semestinya antara faktor diambil kira. Selain sifon, lycra dan kain kapas, terbaharu pilihan material denim yang mudah dibentuk juga dikatakan bakal menjadi pilihan wanita berhijab.

Apalagi denim pada masa ini juga dihasilkan dengan pelbagai pilihan warna. Justeru ujar Raihan, itu lebih memudahkan wanita termasuk untuk menggayakannya sama ada di majlis-majlis formal atau ke tempat kerja. Menarik bukan?


3) Tudung instant atau tudung sarung

Bukan sebarang tudung sarung seperti fesyen 'mak cik-mak cik'. Fesyen tudung instant atau segera pada masa ini pun tidak kurang cantiknya.

Ada yang sudah siap berlilit di kepala siap dengan pin dan bunga serta berjenis rekaan terkini. Pemakainya hanya tinggal untuk ambil, bayar dan menyarungkannya sahaja. Keluaran terbaharu dijangkakan lebih menarik.


4) Personaliti klasik

Biarpun di alaf baharu, tudung klasik yang jenis 'timeless' tetap menjadi pilihan. Tudung bawal misalnya sentiasa menjadi trend sepanjang zaman.

Kata Raihan, biarpun barangkali dari segi pakaian seseorang itu ada segelintirnya berani bergaya menongkah arus, namun wanita kita dijangkakan masih memilih konsep kesederhanaan dalam bertudung di alaf baharu ini.


5) Warna selamat

Sama seperti dua ke tiga tahun yang lalu, pilihan hati wanita 2020 dikatakan masih lagi berkisar dengan warna-warna 'selamat'. Warna berkenaan adalah seperti 'pink belacan' atau merah jambu kusam, 'baby blue' dan 'hijau mint'.

Warna-warna semula jadi juga tidak ketinggalan. Hitam, kelabu, krim dan coklat tetap menjadi pilihan. Industri pereka tudung juga dijangkakan akan membanyakkan pengeluaran tudung dengan warna jenis itu.


Jika melihat situasi semasa kini, penulis menjangkakan wanita alaf baharu ini khususnya di Malaysia akan tetap tampil sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Ya, perkara itu jua dipersetujui Raihan.


"Wanita kita ramai masih memilih untuk tampil sederhana. Hendak lebih berani dalam penggayaan tudung seperti berturban ala futuristik, rasanya dalam 40 wanita seperti dalam seminar saya anjurkan, hanya seorang dua berani bergaya sedemikian. Itupun mungkin kerana mereka terlibat dalam industri seni.


"Penjual tudung juga takkan berani mengeluarkan tudung sebegitu. Mereka hanya jual fesyen tudung yang 'selamat'," katanya.


Seperkara nasihat Raihan buat mereka yang gemar bergaya dengan hijab, yang penting ikut syariat dan tujuan asal dalam mengenakan tudung. Prihatin dengan hal itu sekali gus dapat membantu membezakan prinsip wanita muslim dan sebaliknya.


'Apa yang dipakai oleh seseorang itu membayangkan bagaimana dirinya mahu dilayan'. Sungguh mendalam maksudnya apa yang ingin disampaikan beliau.


"Bertudung sepatutnya bukan sekadar menutup rambut. Sebaliknya sesuatu yang sering dilupakan, yang penting adalah menutup di bahagian dada," katanya kepada Sinar+ Digital mengakhiri bicara.




Fesyen Tudung Pilihan Tahun 2020 Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Aura Dinamik